HIDUP SEORANG BLOGGER PART 2

Umum
29/08/2010 | 77 komen »

HIDUP SEORANG BLOGGER

*Amaran-Entri ini adalah yang terpanjang aku tulis dalam sejarah aku HIDUP SEORANG BLOGGER

Seperti yang dijanjikan dalam entri pertama Hidup seorang blogger part 1 untuk menyambung entri tersebut dan ini merupakan entri penamat kepada kisah HIDUP SEORANG BLOGGER tersebut.

Perubahan sudah bermula

Dalam entri yang pertama aku tamatkan pada sekitar tahun 2005 dan sebenarnya bermula pada tahun 2005 aku sudah melihat dunia internet ini dalam keadaan berbeza sebelum ini, kalau dulu dunia internet aku hanyalah untuk ber “yahoo mesengger”, bersosial di laman social friendster dan seangkatannya dengannya.

Titik permulaan aku mula meninggalkan dunia internet dengan perkara-perkara yang aku sebutkan di atas ialah pada tahun 2005 dan kalau kamu semua nak tahu post yang pertama aku buat ialah pada hari rabu 05  Oktober 2005 9:36 AM dengan menggunakan blogspot di blog yang pertama aku. Masa tu aku baru nak mula menulis dan mungkin boleh gunakan perkataan titik mula aku menjadi blogger, hehe dan secara kebetulan juga tarikh tersebut adalah 2 bulan sebelum aku menyambut hari lahir aku.

entri pertama aku HIDUP SEORANG BLOGGERPada masa tu keterujaan aku untuk membuat blog terlalu tinggi dan aku bermula hanya menggunakan prinsip “trial and error” sebab aku tidak pernah menggunakan mana-mana ebook ataupun panduan untuk menulis blog dan sampai sekarang apa yang aku hasilkan adalah melalui kaedah mencuba sahaja.

Tidak mudah putus asa

Disebabkan dari kecil lagi aku hidup dalam keadaan serba kekurangan dan membuatkan segala apa yang aku lalui tidak akan sesekali mematahkan semangat aku dalam meneruskan kelangsungan hidup ini.

Daripada aku yang mula mempelajari tentang selok belok dunia blogging dan juga mengambil kesempatan terhadap peluang yang wujud di dalam dunia internet. Pada masa 2005 juga aku sudah didedahkan oleh rakan ku kepada program buat duit melalui Google Adsense tetapi aku pada masa itu masih lagi blur dan tidak tahu macam mana untuk bermula. Aku hanya terlibat kali pertama dengan google adsense ialah pada tahun 2007 dan kalau nak dikira 2 tahun juga aku mengambil masa untuk masuk ke dalam dunia adsense.

Pada permulaannya aku hanya melihat dunia blogging sebagai satu wadah untuk menyampaikan isi hati dan melampiaskan ketidakpuasan hati tentang sesuatu perkara dalam dunia realiti dan ditulis dalam blog. Ketika tahun 2005 aku tidak tahu apa itu blogwalking padahal itulah perkara yang aku lakukan semasa mula-mula menapak dalam dunia blogging ni.

Antara blog yang pertama aku baca ialah blog tok rimau kerana penulisannya sangat sempoi dan aku suka membaca penulisan sebegitu, banyak lagi blog yang aku menjadi follower pada masa itu tetapi memandangkan sudah hampir 5 tahun aku pun dah lupa alamat blog tersebut (tu lah banyak sangat makan semut).

Antara kerjaya dan blog

Tahun 2006 adalah merupakan titik tolak kerjaya aku bermula sebenarnya, masa tu aku kurang berblogging disebabkan baru bermula kerjaya hidup aku di samping sibuk dengan dunia cinta buta pada masa itu. Jadi blog aku pada masa itu berubah kepada penulisan dan luahan yang aku lalui semasa di alam pekerjaan.

Blog usang aku tu menjadi tempat aku bercerita tentang kerjaya yang aku lalui dan kadang-kadang penulisan aku hanya berkisar pada luahan hati dalam percintaan pekerjaaan. Segala yang aku lalui aku tulis dan juga menjadi tempat untuk aku melepaskan kekecewaan, kemarahan dan juga kegembiraan dan aku rasa berblogging pada masa itu seperti menulis diari kehidupan yang mana tidak menggunakan cara tradisional iaitu menulis diari dalam buku tetapi menulis dalam dunia internet.

Untung juga sebenarnya menulis blog ini kerana ianya masih lagi tersimpan sampai sekarang, kalau guna diari aku rasa hilang entah kemana dah diari tesebut.

Pada tahun 2006 aku masih lagi berblogging hanya untuk penulisan personal dan tidak pernah aku terfikir pada masa tu tentang nak dapatkan trafik yang tinggi, mendapatkan pembaca setia ataupun pengikut blog dan juga komen daripada pembaca. Setiap penulisan yang aku buat tidak pernah ada komen memandangkan blog tersebut hanya blog peribadi.

Tahun 2007 titik permulaan

Masih lagi berkisar tentang hidup seorang blogger dan pada tahun 2007 inilah yang aku boleh katakan sebagai titik mula aku tahu tentang halatuju untuk berblogging dan mencari pendapatan sampingan melalui blog dan juga program-program lain. Masa tu aku mula mencari program yang boleh mendapatkan duit sampingan melalui dunia internet.

Masa tu aku berfikir rugi kalau hanya menggunakan internet tetapi tidak memanfaatkannya sepenuhnya jadi aku pun mencari kaedah untuk mendapatkan duit secara online. Walaubagaimanapun disebabkan oleh kaedah yang aku gunakan iaitu hanya melalui pembacaan di blog dan sebagainya aku join pelbagai program scam masa tu dan hasilnya memang tiada. Biasalah masa tu mana aku tahu dan kenal program seperti itu betul ataupun salah, cuma sekarang baru aku tahu antara program menjana duit dan program yang mengarut.

Disaat rakan-rakan ku sedang sibuk ber “Yahoo Mesengger“, friendster dan sebagainya aku sudah tinggalkan semua tu dan aku sudah mula mencari program untuk menghasilkan duit secara online. Aku tidak salahkan mereka kerana setiap orang ada caranya dan aku punya cara tersendiri.

Kalau nak diceritakan tentang kehidupan peribadi aku tahun 2007 lah tahun paling sedih kerana pelbagai dugaan yang melanda hidup aku, putus cinta dan aku bermula dengan kehidupan baru. Tapi aku tak nak menulis tentang kisah hidup peribadi sebab aku sekarang nak menulis tentang hidup aku dalam dunia blogger dan juga internet.

Semangat untuk berblogging tetap kukuh pada masa itu walaupun kehidupan aku terganggu dengan masalah bercinta dan sehinggalah secara rasmi aku hidup secara solo serta tumpuan aku pada masa itu pada kerjaya, blog dan juga hobi baru. Maksud hobi baru aku ialah dunia permotoran.

Selepas melalui dugaan tersebut aku pun mula mencari sesuatu untuk aku melupakan kedukaan dan akhirnya aku terjebak dalam dunia modifikasi kenderaan. Untuk menghilangkan kedukaan akibat putus cinta aku menghadiahkan diri sendiri sebiji kereta Kancil Turbo dengan menggunakan enjin Mira L2000s dan dunia blogging aku agak slow masa tu.

Apabila sudah mendapat hobi baru jadi tumpuan aku pada dunia internet juga teralih kepada  forum-forum kenderaan seperti forum ACFK yang aku join. Dunia internet aku mula berkembang dari blogging seterusnya aktif berforum disebabkan oleh kenderaan yang aku miliki dan inilah titik permulaan aku mengenali apa itu forum dalam internet dan belajar selok belok forum.

Bertambah lagi cabang dunia internet yang aku kenal, dari berblogging dan kini menggunakan forum, namun ianya tidak seperti yang disangka, dugaan datang melanda lagi dan kereta kesayangan yang baru aku pakai 3 bulan telah terlibat dalam kemalangan. Ketika itu saudara aku yang membawa kenderaan tersebut.

kereta dan blogger

saat sedih tapi sempat berposing

Inilah keadaan kereta yang aku sayang, kemalangan tersebut menyebabkan kereta aku hancur (total lost) dan hanya enjin serta audio sistem sahaja yang masih lagi boleh digunakan. Kemalangan tersebut hampir meragut nyawa saudara aku tapi kehendak Tuhan dia terselamat apabila tercampak semasa kereta aku menghempap tiang. Kalau kamu semua nak tengok gambar lain sila ke blog ini http://muhammadtarmizi.blogspot.com/2007/01/blog-post.html

Mulai saat itu aku tinggalkan dunia modifikasi kereta dan juga forum-forum kereta di internet. Aku beralih arah dari dua cabang yang aku masuk dalam dunia internet iaitu berblogging dan juga berforum, aku tinggalkan forum tersebut dan mencari nafas baru dalam dunia internet.

Secara tidak sengaja semasa aku dalam dunia internet terjumpa laman web ebook maskahwin yang membuka dimensi baru dalam dunia internet aku. Tertarik dengan sales letter yang dibuat aku telah membeli ebook tersebut dan ini merupakan pelaburan pertama aku dalam dunia internet dan juga ebook pertama yang aku beli.

Dimensi baru aku seorang blogger pada masa itu telah bertambah rencahnya, aku mula mengenali program buat duit di internet melalui program affiliate dan bertambah lagi cabang dunia internet yang aku kenali. Walaupun ebook tersebut tidak mengajar cara untuk aku berblogging tetapi ebook maskahwin yang hilang jugalah yang menjadi titik permulaan aku bermula menggunakan blog wordpress.

Aku tidak mengambil masa yang lama untuk terus maju ke hadapan dan melalui ebook tersebut aku berjaya menghasilkan blog wordpress yang pertama aku iaitu www.pasangkamera.com. Panduan aku pada masa tu untuk menggunakan blog wordpress ialah google, segala maklumat dan cara menggunakan wordpress aku cari melalui google.

Blog wordpress yang pertama

Itulah blog wordpress yang pertama aku dan pada masa tu aku menggunakan kedua-dua platform iaitu blog peribadi yang menggunakan blogspot dan blog wordpress aku berkisar kepada perkongsian aku dalam kerjaya aku sebagai cctv technical engineer. Blog wordpress tu aku berkongsi tentang pengalaman aku dalam cctv, berkongsi ilmu cctv

Pada waktu itu aku menjadi blogger yang mempunyai dua blog dan alhamdulillah aku dapat membezakan blog personal dan blog yang menyampaikan maklumat. Itulah kehidapan seorang blogger yang aku lalui.

Tahukan anda blog wordpress tersebut aku hanya menggunakan 20MB sahaja storage dan bandwith yang digunakan pun hanya 1GB. Oleh kerana blog wordpress menggunakan self hosting dan hosting pertama yang aku beli ialah di sempoihosting.com iaitu hosting yang dimiliki oleh pemilik ebook maskahwin tersebut.

Tahun 2009

Aku tinggalkan tahun 2007 dengan segala macam dugaan dan sinar cahaya muncul pada tahun 2008 dimana kerjaya aku berkembang dan dunia internet aku sudah semakin bercambah. Dari menggunakan blogspot, dunia forum dan ditambahkan lagi dengan kehadiran blog wordpress.

Banyak kenangan manis aku pada tahun 2008 ini dalam dunia blogging dan juga kerjaya. Hidup aku bertambah ceria dengan kehadiran blog wordpress namun blog peribadi yang menggunakan blogspot masih lagi aktif dan aku mempunyai kenangan indah dalam dunia blogging yang aku tidak dapat lupakan iaitu pertama kali dalam hidup aku berblogging di luar negara.

Kalau kamu semua nak tahu, aku sempat menulis blog semasa aku berada di luar negara iaitu di Dubai pada januari 2008 dan itu adalah kenangan manis yang aku tidak dapat lupakan. Tak percaya? cuba kamu semua tengok post dalam blog aku semasa di dubai disini http://muhammadtarmizi.blogspot.com/2008/01/lagi-3-hari-nak-balik-malaysia.html

blogger di dubai

kalau dah blogger tu, di dubai pun nak berblogging

Inilah bukti bahawa aku sebagai blogger kental, haha di dubai pun sempat aku menulis satu post. Aku harap kamu semua janganlah fikir aku ni nak berlagak tapi aku nak bercerita tentang pengalaman aku seorang blogger sahaja tidak lebih dari itu.

Ok kita tinggalkan kisah tersebut, dunia internet yang aku kenal sudah bertambah perasa dan rencahnya sehingga aku terus bersemangat untuk berblogging dengan meneruskan blog peribadi dan juga blog wordpress iaitu pasangkamera.com

Pencapaian melalui blog

Tafsiran untuk sesebuah kejayaan menjadi blogger pada aku bukanlah hanya mendapat PageRank yang tinggi, trafik yang tinggi, menjadi blogger yang famous, menjana wang beribu-ribu melalui blog tetapi pada pandangan aku kejayaan lain juga boleh dijadikan kayu ukur tentang pencapaian dalam blog (ini hanya pendapat aku, kalau tak setuju sila bantah di ruangan komen).

Antara pencapaian gemilang aku dalam dunia blogging ialah mendapat jemputan sebagai tetamu undangan di dalam Rancangan Selamat Pagi Malaysia (SPM) di TV1 selepas aku balik dari Dubai. Kali ini aku minta maaf kerana video semasa aku ke udara secara langsung di TV1 tiada dalam simpanan aku.

Itulah pencapaian yang paling aku banggakan kerana hasil tersebut ialah daripada perkongsian aku di dalam blog pasangkamera.com (lupa nak bagitau domain pasangkamera.com aku dah expired dan orang lain telah beli). Kalau kamu semua nak tahu aku ke udara secara live menjadi tetamu dalam rancangan SPM tersebut adalah kerana aku sebagai seorang blogger yang berkongsi maklumat dan ilmu CCTV di dalam blog.

Tiada rahsia bagaimana aku dapat menjadi tetamu undangan yang disiarkan secara langsung di TV1 dan semua orang kampung aku terkejut sebab aku masuk TV, haha. Sebenarnya aku dijemput sebagai tetamu undangan kerana pada masa itu tengah panas tentang isu pembunuhan Nurin Jazlin dan juga rakaman CCTV skandal seks chua soi lek. Jadi aku dijemput oleh TV1 kerana mengiktiraf usaha yang telah aku lakukan melalui penulisan di dalam blog yang berkongsi tips-tips cctv.

Macam tak logik kan? seorang blogger menjadi tetamu undangan dalam Tv pastu siaran pula secara langsung, sebenarnya tiada yang mustahil dalam hidup ini kalau kita inginkannya. Kejayaan yang aku capai adalah terdorong daripada kisah hidup yang aku lalui dan setelah caci maki, kata -kata hina yang aku terima membuatkan aku terus bersemangat untuk berjaya.

Kalau kamu semua nak tahu, aku dihubungi oleh penerbit rancangan SPM pun melalui blog aku tu dan aku tanya penerbit tersebut (Siti Farah rasanya nama dia) macam mana awak boleh jumpa blog saya ni. Nak tahu apa jawapannya? saya jumpa blog awak melalui carian di google. Maknanya pada masa tu aku berjaya kerana telah mengoptimakan blog aku dengan teknik SEO sehingga mendapat tempat di page yang pertama dalam google. Masa tu aku baru mula belajar mengenai SEO.

Jadi kamu semua jangan risau kalau blog kamu tidak dikenali, pasti ada orang yang menjadi silent reader di blog kamu dan mungkin orang tersebut boss kamu, penerbit rancangan TV, artis ataupun ahli politik, hehe.

Kemuncak pencapaian yang aku lalui dalam berblogging ialah kisah tadi dan hidup aku dalam dunia internet diteruskan sehinggalah mendapat satu tawaran yang menyebabkan aku menyepi dalam dunia blogging buat sementara waktu.

Zaman suram dalam blogging

Kehidupan ada pasang surutnya, begitu juga dalam dunia internet dan blogging yang aku lalui, apa yang aku ingin katakan tentang zaman suram dalam blogging ialah aku mendapat tawaran pekerjaan sebagai penjawat awam. Tawaran yang menyebabkan aku berbelah bagi untuk menerimanya pada masa itu.

Aku ditawarkan jawatan sebagai Penguasa Bomba dan pada masa itu aku berbelah bahagi untuk menerimanya kerana aku sudah selesa dengan kerjaya yang aku ada. Masa itu pendapatan aku bekerja ialah sekitar RM 4000-5000 dan kalau aku menerima tawaran jawatan tersebut aku akan hanya menerima gaji sebanyak RM 2000.

Tetapi setelah pelbagai pertimbangan dibuat akhirnya aku menerima juga tawaran tersebut disebabkan beberapa faktor yang aku rasa tak perlu kamu semua tahu. Cukup aku cakap bekerja di sektor swasta memang pendapatannya lumayan tetapi ianya akan berubah menjadi mimpi ngeri apabila khidmat kita tidak diperlukan lagi.

Setelah aku menerima jawatan tersebut aku perlu berkursus selama 6 bulan (Latihan Asas) dan 3 bulan setengah (Advance training) dan disinilah bermulanya zaman suram aku dalam blogging. Dalam masa kursus tersebut aku tidak dapat menggunakan internet, telefon mahupun mengetahui perkembangan terkini dunia internet.

Memang aku tidak sangka apabila kursus yang aku lalui tersebut ialah kursus dimana latihan secara fizikal dan mental amatlah berat. Aku tidak dapat berhubung dengan dunia luar. Bukan sahaja tidak dapat menggunakan internet nak guna telefon pun selepas 3 bulan lebih baru aku dapat menggunakannya. Masa tu minat berblogging aku masih lagi kuat dan disebabkan aku tidak boleh menggunakan internet untuk menulis blog maka kertas dan pen yang menjadi tempat untuk aku berblogging.

Oleh kerana aku tidak sempat menguruskan segala blog aku masa menerima tawaran pekerjaan tersebut sehinggalah aku terlupa untuk renew domain pasangkamera.com itu dan berakhir sebuah blog wordpress aku disitu. Inilah cabaran seorang blogger yang menggunakan domain dan hosting berbayar. Nasib baik blogspot tu percuma kalau tak dengan blogspot pun jalan sekali. Kalau anda nak lihat blog pasangkamera tersebut boleh lihat di sini http://web.archive.org/web/*/pasangkamera.com

Tetapi aku terus bertekad untuk bermula semula dalam blog wordpress selepas aku tamat kursus dan memulakan kerjaya baru itu.

Kerjaya baru dan nafas baru

Selepas tamat latihan aku sebagai pegawai bomba penghujung tahun 2008 dan meneruskan cita-cita untuk terus mendalami ilmu blogging dan dunia internet yang tertangguh hampir 9 bulan. Bayangkan aku tinggalkan dunia blogger selama 9 bulan dan disaat aku mencapai kejayaan dalam blogging dan terus berputar ke bawah kembali ibarat roda yang berpusing.

Aku kini perlu bermula dari bawah kembali untuk berblogging tetapi kali ini aku kembali dengan asas yang sudahpun kukuh tinggal strategi sahaja yang berbeza untuk membuat kemunculan semula dalam dunia internet.

Perkara pertama yang aku lakukan ialah membeli domain www.seribong.info untuk aku bermula kembali dalam dunia blog wordpress dan meneruskan minat aku.

Tahun 2009 aku dengan kerjaya baru dan dunia internet aku pun sudah mempunyai dimensi yang berlainan dengan sebelum ini. Aku tidak menunggu lama untuk terus aktif dalam dunia internet dan di blog seribong itu aku mula menulis kembali demi meneruskan minat aku terhadap blog.

Kalau dulu aku mengambil masa 3 tahun iaitu dari 2005 sehingga 2008 untuk aku meletakkan satu tanda aras kejayaan aku berblogging tapi kini aku tidak menunggu lama untuk berbuat demikian, aku bermula pada bulan julai 2009 http://www.seribong.info/blog/umum/selamat-datang. Pada masa tu aku letakkan satu matlamat iaitu untuk blog seribong ini aku nak buat kemunculan sekali lagi di TV dengan menggunakan cara yang sama iaitu SEO kan blog supaya ia mendapat tempat di google.

Akhirnya matlamat aku tercapai dalam masa 5 bulan iaitu kemunculan kedua aku secara LIVE di TV9 juga sebagai tetamu jemputan rancangan Nasi Lemak Kopi O. Disebabkan oleh pengalaman yang lepas, kali ini aku dapat menyimpan segala kenangan dan kejayaan yang dicapai. Lihat di sini http://www.seribong.info/blog/umum/macam-mana-nak-masuk-tv-secara-livecara-saya

Inilah rakaman saat kenangan manis aku bersama blog seribong.info dan kenangan manis ini tidak akan tercapai kalau kita tidak menetapkan matlamat dalam berblogging dan perkara utama ialah percaya dan yakin dengan kehendak Allah Yang Mahu Berkuasa dalam menentukan segalanya.

Jika kamu berblogging, letakkan satu matlamat supaya kamu akan terus berada dilandasan yang betul dan akan terus berblogging untuk mencapai matlamat tersebut.

Ingat quote aku diatas tu supaya kamu yang ada blog dan menjadi seorang blogger ada sesuatu yang boleh dibanggakan. Bukan hanya sekadar menjadi blogger untuk mencetuskan provokasi, menjadi blogger yang hanya melepaskan kemarahan serta menjadi blogger yang tidak menyumbang kepada masyarakat. Jangan menjadi blogger untuk mengutuk blogger lain.

Klimaks sebuah kisah

Kisah hidup seorang blogger yang aku lalui sudahpun berada di penghujung tulisan, selepas apa yang aku capai dan lalui ini aku sudah tidak lagi menoleh kebelakang, aku sudah tidak takut untuk di hina dan aku sematkan keyakinan untuk mencapai apa yang aku rencanakan.

Permulaan tahun 2010 aku mula mencari sesuatu yang lain setelah segala pengalaman yang aku lalui, pada tahun ni hidup aku sebagai seorang blogger perlu diseimbangkan antara kerjaya, keluarga dan juga dunia maya ini. Aku merancang sesuatu yang berbeza dan matlamat yang berbeza.

Dunia internet yang aku lalui semakin hari semakin banyak yang aku jumpai. Pada tahun ini juga aku menyertai seminar smartblogging yang dibuat oleh saudara Rohaizad untuk mendapatkan duit sampingan dan alhamdulillah setelah tamat seminar aku mulakan dunia blogging dan aku kurangkan aktiviti bagi program affiliate, ebook, ber forum dan seangkatan dengannya.

Melalui seminar tersebut aku mendapat sedikit duit untuk menampung kos hosting, domain dan juga bil internet. Matlamat aku bukan untuk kaya dengan blogging dan juga sebagai blogger part time ini aku hanya buat sekadar yang termampu. Syukur dengan rezeki yang Allah bagi kerana melalui dunia internet dan blogging aku dapat membayar kesemua kos-kos yang disebutkan di atas.

Sehingga hari ini aku sudah mempunyai 5 niche blog yang masih lagi dalam peringkat pembangunan dan ada yang sudah mendatangkan hasil.

sedikit hasil dari paypal

sedikit hasil dari paypal

Kalau nak dibandingkan dengan blogger yang hebat aku ni masih lagi jauh perjalanannya, income yang aku dapat melalui paypal ini cukup untuk aku bayar bil hosting yang berjumlah 9.95 usd sebulan.

Pada tahun ini aku juga telah berjaya melancarkan blog yang kamu baca sekarang ni dan antara matlamat jangka pendek yang aku sasarkan ialah mempunyai PR2 dan juga ranking di alexa di bawah 2oo ribu dan kedua-duanya sudah tercapai, mungkin orang lain memang sinis akan berkata, buat blog nak dapat pr dan kerjar ranking sahaja. Bukan itu yang aku harapkan tetapi untuk mencapai matlamat yang aku tetapkan itu aku telah belajar bagaimana cara untuk mendapatkannya. Jadi ilmu yang aku dapat itu berharga dan pr serta ranking itu adalah reward sahaja.

Kisah ini sudah hampir sampai ke penghujungnya dan segala cerita di atas adalah apa yang telah aku lalui, diharapkan ianya boleh menjadi satu kisah yang boleh dikongsi bersama.

Sebelum aku menutup penulisan ini ada baiknya aku senaraikan beberapa fakta dan juga kisah yang aku tidak ceritakan dalam penulisan ini.

Fakta dan kisah yang tidak ditulis :

- 2008-Aku mendapat hasil yang pertama daripada Google Adsense. USD 100 lebih

- Selain dari blogging dan sebagainya aku juga mendapat income melalui servis memasang blog dan menulis dan menjual ebook.

Dan fakta terakhir ialah entri ini mengambil masa 5 jam untuk di siapkan dan mempunyai 3221 patah perkataan serta 21929 abjad. Sekian sahaja kisah HIDUP SEORANG BLOGGER yang aku lalui dan diharap pada masa-masa lain aku akan berkongsi lagi cerita dan kisah ini

.

.

Terima kasih kepada Denaihati.com kerana telah mengajurkan contest seo hidup seorang blogger dan ini merupakan entri wajib yang kedua.

Tentang Penulis: Admin

Pemilik blog ini masih lagi bekerja sepenuh masa dan blog ini dibina kerana minat terhadap penulisan serta keinginan untuk terus belajar. Sudah mempunyai isteri dan seorang cahaya mata, untuk biodata penuh boleh lihat Pemilik Blog

77 Maklumbalas kepada: HIDUP SEORANG BLOGGER PART 2

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*

You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <strike> <strong>

CommentLuv badge